ATLET pecut muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 18, mengharumkan nama negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter di Kejohanan World Athletics Continental Tour Bronze yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, pada 10 Ogos lalu.
Pelajar Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) itu menamatkan larian dengan catatan masa 10.50 saat, sekali gus melengkapkan kedudukan podium dan menewaskan beberapa pelari berpengalaman dari rantau Asia.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pencapaian tersebut membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah turut menjadi institusi peneraju dalam pembangunan atlet berprestasi tinggi.
“Kejayaan Danish ini adalah bukti bahawa pelajar UPSI mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Semangat juang yang beliau tunjukkan seiring dengan visi UPSI untuk melahirkan graduan seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kecergasan fizikal.

Danish (dua dari kanan) meraih gangsa dalam acara 100 meter di Kejohanan World Athletics Continental Tour Bronze yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India
Beliau berkata, UPSI akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada para atlet melalui pelbagai program pembangunan bakat, penyediaan fasiliti latihan bertaraf antarabangsa, serta bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.
“Pencapaian ini diharap menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga UPSI untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, berkata pencapaian ini wajar menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk berani mencabar kemampuan diri di pentas dunia.
“Kemenangan ini adalah hasil daripada latihan intensif, semangat yang tidak pernah luntur, dan sokongan padu semua pihak. Danish telah membuktikan bahawa mahasiswa UPSI mampu mengharumkan nama negara jika diberikan peluang dan ruang.

Danish mencatat masa 10.50 saat pada aksi final di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.
Menurut beliau, pihak universiti komited untuk terus memperkukuh program seperti Malaysia Juara UPSI kerana ia terbukti berjaya melahirkan atlet yang mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya lebih ramai pelajar akan mengikuti jejak langkah Danish dalam membawa nama universiti dan negara ke mercu kegemilangan,” katanya.