TERLALU mahu hasilkan keputusan yang baik di gelanggang sendiri, dipercayai menjadi punca mengapa pemain kebangsaan sukar mencipta nama di Axiata Arena.
Begitulah telahan bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong yang berasakan pemain negara, sering terbeban apabila beraksi di gelanggang sendiri gara-gara terlalu ghairah mahu mencipta impak di depan penyokong.
Katanya, suasana di laman sendiri bukan jaminan untuk cemerlang, sebaliknya boleh memakan diri jika gagal kawal tekanan yang datang bersama sorakan dan harapan tinggi.
“Bermain di sini memang ada tekanan. Semua nak tunjuk prestasi. Tapi bila terlalu nak tunjuk, tekanan tu jadi dua kali ganda. Saya pernah lalui… memang bukan mudah,” katanya ketika ditemui di ibu negara, semalam.
Tambahnya, penyokong Malaysia ibarat ‘pedang dua mata’ – sorakan jadi tenaga bila bermain bagus, tapi bertukar beban bila prestasi merudum.
“Persiapan kena rapi. Kalau tak kuat mental, tak ada motivasi… susah nak lawan tekanan. Itu yang ramai pemain tak perasan,” katanya, yang pernah merangkul emas Sukan Asia 2006 bersama Koo Kien Keat.
Perodua Malaysia Masters 2025 yang berstatus Super 500 bakal berlangsung dari 21 hingga 25 Mei ini di Axiata Arena, dengan kontinjen negara tampil dengan 30 wakil dalam semua kategori.
Tahun lalu, Shevon Lai-Goh Soon Huat menamatkan kemarau gelaran tuan rumah apabila muncul juara beregu campuran menewaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19 di pentas final.