SKUAD lelaki negara mungkin membuat ‘kerja gila’, menurunkan pemain beregu bagi mengisi slot perseorangan menghadapi Jepun di separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Sabtu.
Ini berikutan pilihan yang ada semakin terhad apabila dua pemain perseorangan utama, Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia seakan pasti tidak dapat diturunkan, selepas masing-masing mengalami kecederaan dan masalah kesihatan.
Kecederaan belakang dialami Tze Yong kembali menghantuinya sehingga terpaksa menarik diri, selepas hanya tiga minit beraksi pada set pertama menentang Jason Teh (Singapura) di suku akhir.

Pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky buntu, merencanakan strategi menghadapi Jepun.
Tze Yong terpaksa diturunkan pada aksi terbabit selepas Zii Jia tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah resdung.
Justeru, hanya tinggal dua pemain perseorangan iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe yagn cergas untuk diturunkan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya akan menilai semua pilihan yang ada termasuk kemungkinan menyenaraikan salah seorang pemain beregu, menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Lee Zii Jia mengadu menghidap sinus teruk.
“Situasi yang berlaku ini adalah di luar kawalan kami yang mana kita kehilangan dua pemain perseorangan. Akhirnya, kita perlu buat persiapan dengan pemain yang kita ada sekarang.
“Mungkin pemain beregu akan disenaraikan bermain dalam perseorangan. Segala kemungkinan itu ada dan perkara ini akan dibincangkan semula dengan barisan kejurulatihan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata Rexy.

Ng Tze Yong seakan pasti tidak akan diturunkan selepas keksakitan belakangnya berulang.
Kegusaran Rexy jelas ketara di wajahnya namun pihaknya mempunyai masa sehingga jam 1 tengah hari esok sebelum memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi di separuh akhir.
“Setakat ini, saya tidak boleh pastikan sama ada Tze Yong atau Zii Jia boleh diturunkan. Macam Zii Jia, saya fikir pasukan dia lebih mengetahui keadaannya.
“Jadi, kita akan bincang semula nanti. Lagipun, kita tidak boleh nak paksa pemain untuk bermain sekiranya mereka betul-betul tidak boleh turun bermain,” katanya.