BEREGU lelaki nombor 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menafikan sudah meraih pencapaian terbaik dalam kerjaya badminton, sebaliknya masih banyak yang belum dicapai.

Sambil menegaskan penurunan prestasi sejak Kejohanan Dunia Ogos lalu sebagai petunjuk mereka tidak lagi ghairah dengan sukan ini, Aaron berkata dia belum medapatkan hasil terbaik seperti yang diinginkan.

“Bagi saya belum dapat yang terbaik saya mahukan kerana secara peribadi untuk saya, pencapaian terbaik perlu dapat jadi juara dunia, menang emas (Olimpik) serta dapat gelaran dalam setiap kejohanan yang disertai… jadi maknanya saya belum mencapainya,” kata Aaron, ketika ditemui di gelanggang latihan, Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu lepasi badi gagal lepasi peringkat kumpulan  di WTF.

Begitupun dia menegaskan, setiap pemain meletakkan penanda aras berbeza dan tidak mustahil pemain lain berasa cukup dengan gelaran tertentu yang diperolehi: “Saya sendiri belum puas dengan pencapaian yang ada, kalau saya sudah puas saya mungkin tidak akan bermain lagi hari ini.”

Justeru, Aaron menetapkan sasaran untuk mara ke separuh akhir di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir (WTF), Disember depan sebagai satu lagi pencapaian untuk diatasi bersama Wooi Yik.

“Buat masa sekarang saya belum dapat sahkan untuk layak ke WTF, dan bagi memastikan benar-benar layak, kami perlu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir bagi kejohanan di Eropah.

“Dalam masa sama, sebagai pemain badminton, kami mesti break through juga, walaupun bukan juara di WTF, kami perlu break through badi (tersingkir di peringkat kumpulan).”

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik tiga kali beraksi di WTF pada edisi 2022, 2023 dan 2024 namun cabaran mereka berakhir di kedudukan dua terbawah peringkat kumpulan.