PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuka kertas siasatan terhadap dua individu yang didakwa terlibat dalam elemen rasuah, serta pelanggaran tata etika pemilihan ahli jawatankuasa.
Dua individu yang dimaksudkan beliau, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dan Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Para Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut Megat Shahriman, tindakan ini bertujuan melindungi integriti dan kedaulatan badan sukan tersebut daripada sebarang elemen negatif.
“Saya mengambil langkah membuat aduan kepada SPRM untuk menyiasat dua individu ini bagi melindungi kepentingan, kesucian, dan integriti Majlis Paralimpik Malaysia daripada unsur rasuah serta amalan tidak sihat yang boleh menjejaskan badan induk sukan para negara.
“Ia juga penting untuk memastikan ahli gabungan tidak terlibat atau terpalit dengan jenayah rasuah, memandangkan setiap persatuan sukan kebangsaan adalah entiti awam,” katanya, ketika ditemui.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan yang telus perlu dijalankan bagi memastikan tidak ada kompromi dalam isu membabitkan rasuah dalam badan sukan negara.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.
Pada Khamis, Megat Shahriman mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden MPM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan berlangsung pada 14 Disember ini (esok).
Penyandang jawatan itu dijangka dicabar bekas KP MSN terbabit yang mengesahkan akan bertanding, pada 6 Disember lalu.