SELANGOR membuktikan status mereka sebagai kuasa besar futsal tempatan apabila menewaskan Pahang Rangers dengan penuh bergaya 13-3 dalam final Malaysia Futsal Cup (MFC) 2025 di Stadium Tertutup N9 Arena, Nilai, malam Sabtu.

Aksi final yang menemukan dua bekas juara ini bermula sengit, namun Selangor jelas berada di kelas tersendiri apabila bintang import, Vitor Fernandes meledak lapan gol sekali gus menjadi wira Gergasi Merah. Fernandes terlebih dahulu membuka pesta jaringan dengan lima gol di separuh masa pertama, dibantu sumbangan dua gol pemain muda negara, Syahir Iqbal, selain jaringan Faris Johan dan Evandro Borges untuk mendahului 9-1 sebelum rehat.

Pahang Rangers yang cuba memberi tentangan hanya mampu meledak satu gol awal menerusi Razin Rahim, namun layangan kad merah kepada salah seorang pemain mereka merencatkan rentak pasukan juara edisi 2023 itu.

Di babak kedua, Fernandes terus mengganas dengan menambah tiga gol peribadi sebelum Khairul Effendy, Iqhmal Najmie dan Matheus Moura melengkapkan malam penuh gemilang Selangor. Rangers sekadar menambah dua gol saguhati di penghujung aksi, tetapi segalanya sudah terlambat.

Kemenangan besar ini memastikan Selangor merangkul kejuaraan MFC buat kali kedua dalam sejarah kelab, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai gergasi futsal Malaysia.