SAINGAN Ragbi 10 Sebelah COBRA bakal mencipta sejarah baharu apabila buat julung kali memperkenalkan dua kategori tambahan, Wanita dan Veteran sempena edisi ke-52 yang berlangsung pada 1 hingga 2 November ini di Padang Astaka MBPJ.
Presiden COBRA, Darryll Sinnappa berkata, pengenalan dua kategori itu membuktikan komitmen penganjur terhadap keterangkuman dan kesinambungan pembangunan sukan ragbi di semua peringkat.
Katanya, kategori utama akan menampilkan 12 pasukan elit dari tujuh negara termasuk POM Harlequins (Papua New Guinea), NTK Rugby (Afrika Selatan), Koko Samoa (Samoa), serta Penguin Rugby (United Kingdom).
“Malaysia pula akan diwakili pasukan hebat seperti COBRA, KL Tigers, SSTMI Tsunami, MBPJ Knights, Royal Town Warriors Klang dan KRAS yang bakal menggegarkan padang dengan semangat juang luar biasa,” katanya dalam sidang media di Kepab Ragbi COBRA, Petaling Jaya.

Tambahnya, kategori wanita disertai lima pasukan tempatan termasuk COBRA Venom, KL Tigers, Jaguar Rugby Club dan Sumandak Sabah yang akan beraksi secara liga sepusingan sebelum ke separuh akhir.
Sementara itu, kategori veteran (40 tahun ke atas) bakal menampilkan COBRA Legends, Asas Rugby Club dan KKB Great Walls dengan format liga sepusingan sebelum dua pasukan terbaik berentap di pentas akhir.
“COBRA 10’s bukan sekadar kejohanan, tetapi simbol warisan dan persahabatan antarabangsa yang berjaya menarik kelab-kelab ternama dari Australia, New Zealand dan Afrika Selatan,” ujar Darryll.
Katanya, meskipun tiada tawaran hadiah wang tunai, prestij dan sejarah panjang kejohanan ini tetap menjadi tarikan utama yang menjadikan COBRA 10’s antara kejohanan ragbi paling dinanti rantau ini.