JURULATIH AC Milan, Sergio Conceicao, menyatakan bahawa kad merah yang diterima Theo Hernandez telah mengubah situasi perlawanan ketika pasukannya disingkirkan oleh Feyenoord pada aksi kedua playoff pusingan 16 Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.

Theo dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning akibat simulasi di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-51. Kehilangan seorang pemain menyebabkan dominasi Milan di San Siro semakin pudar.

Feyenoord berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Julian Carranza pada minit ke-73, membalas jaringan Santiago Gimenez untuk Milan. Keputusan seri 1-1 sudah cukup untuk Feyenoord mara ke pusingan seterusnya selepas menang 1-0 pada aksi pertama.

“Sekali lagi, kami menunjukkan bahawa kami mampu bertahan daripada dibolosi ketika mencipta peluang. Namun, kad merah Theo telah mengubah segalanya. Ia membuatkan kami sangat marah dan kecewa,” kata Conceicao seperti yang dilaporkan oleh Football Italia.

Conceicao berasa kesal kerana Feyenoord tidak banyak mengancam ketika kedua-dua pasukan masih mempunyai jumlah pemain yang sama. Pasukan lawan hanya mula bermain lebih baik selepas Rossoneri terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Ini jelas satu kegagalan kerana kami mahu melangkah ke pusingan 16 terbaik.

“Perlawanan ini menunjukkan bahawa kami sebenarnya lebih kuat daripada lawan kami, tetapi detik-detik penentu telah membuat perbezaan,”katanya.