MAJLIS Sukan Negeri Selangor (MSNS) melantik empat Ahli Lembaga Pengurus baharu bagi sesi 2023/2025, dalam usaha memartabatkan agenda pembangunan belia dan sukan di negeri terbabit.

MSNS menerusi satu kenyataan media berkata, pelantikan baharu itu dibuat, selaras pelan penyusunan serta penstrukturan mereka, berdasarkan visi dan hala tuju terkini MSNS.

Nama-nama besar terdiri daripada mantan Ketua Pegarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin; Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin serta Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), M Pravin.

“MSNS memutuskan seramai tujuh Ahli Lembaga Pengurus MSNS sedia ada dikekalkan.

“Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MSNS baharu.

“Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Setia Haris Kasim dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pula kekal sebagai wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam barisan Ahli Lembaga Pengurus MSNS sesi 2023/2025,” kata kenyataan itu.

Pelantikan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSNS yang dipengerusikan Exco Belia, Sukan & Keusahawanaan merangkap Pengerusi MSNS, Mohd Najwan Halimi di Pejabat MSN Selangor.