MENTERI Belia dan Sukan enggan mengulas lanjut cara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) megendalikan kes peletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan, sebaliknya meminta semua pihak memberi ruang kepada badan induk bola sepak negara itu menguruskannya.
Menurut Hannah, beliau yakin FAM juga tidak mahu Pan-gon meninggalkan Harimau Malaya.
“Beri ruang kepada FAM kerana Hamidin (Datuk Hamidin Mohd Amin) juga Chef de Mission (CDM) Olimpik Paris, sedang sibuk mengendalikan atlet kita yang sudah ramai berlepas ke sana… bagi masa untuk mereka mengendalikan transisi ini,” kata Hannah, yakin FAM mampu mengendalikan isu peletakan jawatan Pan-gon dengan baik.
Hamidin yang juga Presiden FAM, tidak berada dalam sidang media ketika Pan-gon mengumumkan peletakan jawatan semalam dan dipercayai mengendalikan atlet Olimpik negara yang menjalani latihan di luar negara.
Sementara itu, Hannah berkata, FAM memiliki pakar teknikal untuk menentukan pengganti Pan-gon.
“Kerajaan memang mahu bersama-sama membangunkan bola sepak, sukan yang popular di Malaysia… Cuma perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan saya berharap Harimau Malaya tidak terganggu dalam proses memperbaiki ranking ke tahap lebih baik.”
Semalam, Pan-gon mengesahkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma FAM.
Pan-gon menyatakan keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.