(L/R) Mercedes’ Italian driver Kimi Antonelli, McLaren’s British driver Lando Norris, and Ferrari’s Monegasque driver Charles Leclerc race during the 2026 Miami Formula One Grand Prix at Miami International Autodrome in Miami Gardens, Florida, on May 3, 2026. (Photo by CHANDAN KHANNA / AFP)
FORMULA Satu (F1) berkemungkinan memasuki fasa baharu apabila Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) merancang untuk menggantikan enjin V6 hibrid dengan unit kuasa V8 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem memberi bayangan perubahan itu hampir pasti direalisasikan, dengan sasaran pelaksanaan sekitar 2031 atau lebih awal bergantung kepada sokongan pengeluar enjin.
Menurutnya, hala tuju baharu itu bertujuan menjadikan sukan berprestij tersebut lebih mudah difahami, ringan dari segi teknologi serta lebih menarik untuk peminat dan pemandu.
Musim ini menyaksikan F1 memperkenalkan unit kuasa generasi baharu yang menyeimbangkan penggunaan tenaga elektrik dan enjin pembakaran dalaman, selain menggunakan bahan api lestari sepenuhnya. Namun, pendekatan tersebut menerima kritikan daripada beberapa pihak.
Antara isu dibangkitkan ialah keperluan pemandu mengamalkan teknik tertentu seperti mengurangkan kelajuan bagi menjana semula tenaga bateri, yang dilihat memberi kesan kepada aliran perlumbaan serta aspek keselamatan.
Selain itu, kerumitan peraturan teknikal termasuk penggunaan istilah baharu dan had tenaga turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat.
Sehubungan itu, cadangan penggunaan enjin V8 dilihat sebagai langkah untuk mengurangkan kompleksiti tanpa mengabaikan elemen kelestarian, memandangkan teknologi tersebut masih boleh digabungkan dengan bahan api mesra alam.
Sekiranya majoriti pengeluar enjin menyokong perubahan itu, pelaksanaan boleh dipercepatkan seawal 2030. Jika tidak, FIA tetap mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan baharu tersebut pada 2031.