SELEPAS empat perlawanan Liga Super setakat ini, sudah dua kad merah dilayangkan kepada ketua jurulatih kelab.
Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC Nafuzi Zain menjadi pengendali pertama membuka ‘buku kad merah’ ketika aksi tewas 0-1 bertemu PDRM Sabtu lalu dek marah kepada pegadil keempat perlawanan.
Terbaharu, seorang lagi jurulatih berprofil tinggi dari pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berada di senarai kedua menerima kad merah apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan Noor Azriel Baharuddin pada minit ke-67.
Berdasarkan aksi ketika insiden itu, memang jelas menunjukkan pemain Sri Pahang FC menolak dari arah belakang pemain Sabah FC ketika berada dalam kotak penalti. Malangnya, pengadil mahupun penjaga garisan gagal melihat adegan itu dengan jelas.
Ironinya, isu pengadil bukanlah perkara baharu bagi saingan Liga Malaysia. Saban tahun ada sahaja pertikaian atau ketidakpuasan keputusan pengadil yang berlaku secara langsung atau tidak langsung.
Di laman media sosial, sudah pastinya dihujani dengan komen-komen ‘panas’ penyokong-penyokong membidas keputusan pengadil yang tidak berhati-hati, seakan tidak berfikir panjang.
Dari segi psikologi, insiden ini pastinya akan mengganggu jurulatih itu sendiri kerana ‘ditelan mati mak, diluah mati bapa’ kerana bukan sahaja ‘hati sakit’ dilayangkan kad merah, tetapi tak boleh bersuara dengan bebas, dikhuatiri akan dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Itu yang berlaku kepada Kim Swee yang mahu penonton menilai sendiri apa yang berlaku .
Belum pasti sampai bila isu pengadil ini akan berkurangan… mungkin selepas penggunaan VAR (Video Bantuan Pengadil) kelak. Sementara menunggu itu, pemain, jurulatih dan pasukan perlu hadap isu-isu melibatkan pengadil ini.
Apa yang pasti, pengadil tidak akan dikenakan sebarang hukuman sekiranya tiada laporan rasmi daripada pasukan. Bagi FAM sendiri, perlulah menilai, mendengar keluhan daripada pasukan memandangkan mereka telah berbelanja besar bukan untuk mendapat keputusan kecewa gara-gara tindakan pengadil.

Antara komen peminat bola sepak yang mahu FAM mengambil tindakan terhadap pengadil.
ARTIKEL BERKAITAN: “Pengadil adalah sentiasa betul… ” – Kim Swee
Tindakan memberi hukuman kepada pengadil mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada pegawai-pengawai perlawanan yang lain, namun keputusan yang dibuat ketika sesuatu insiden berlaku tidak boleh diubah lagi.
Pun begitu, dalam kemarahan jangan lupa juga kepada semua pasukan yang berpuas hati dengan keputusan pengadil ‘adil’ ketika perlawanan agar tidak lokek meluahkan penghargaan kepada mereka. Sekurang-kurangnya, tampak juga dalam Liga-M ini ada pengadil yang berwibawa.
Secara keseluruhannya, adakah mutu pengadilan Liga Malaysia, terutama bagi Liga Super masih di takuk lama?