“KAMI akan bangkit” itulah ungkapan paling tepat menggambarkan semangat yang ditunjukkan tekong negara, Syahir Rosdi, selepas skuad regu berpasukan negara tumpas 2-0 kepada musuh tradisi, Thailand, dalam perlawanan terakhir Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa pada Ahad.
Meskipun keputusan berpihak kepada pasukan lawan, skuad negara menampilkan aksi bertenaga hingga memaksa set penentuan berlangsung sengit sebelum tewas tipis 17-15 di tie-break. Bagi Syahir, kekalahan itu bukan titik noktah, sebaliknya menjadi batu loncatan menjelang dua kejohanan utama tahun ini – Piala Raja Thailand dan Sukan SEA.
“Saya nampak prestasi pasukan meningkat. Walaupun kita kalah, tapi kalah dalam tie-break. Itu tak patahkan semangat kami untuk terus berjuang demi negara,” ujar Syahir yang menunjukkan peningkatan prestasi di set kedua selepas bergelut untuk menyesuaikan diri di set pertama.

Skuad takraw negara akur tewas di pentas akhir regu berpasukan Piala Asia, Pada Ahad.
Mengulas lanjut, Syahir tidak menafikan kehebatan Thailand sebagai pasukan elit dunia dalam sukan ini, namun tetap memuji kesungguhan rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan di gelanggang, terutamanya Azlan yang tetap beraksi walaupun mengalami kecederaan pada lengan akibat pendaratan tidak sempurna.
“Azlan memang luar biasa hari ini. Walaupun cedera, dia teruskan juga permainan. Semangat juangnya patut kita contohi. Kami semua satu pasukan, dan kami akan terus berlatih lebih keras untuk kejohanan seterusnya,” kata Syahir lagi.
Pertahanan dan servis menjadi antara aspek yang akan diperbaiki segera oleh pasukan negara, dan bagi Syahir, kekalahan ini memberikan pengajaran besar buat mereka dalam menghadapi tekanan di peringkat tertinggi.

Azlan Alias, perejam negara yang tetap beraksi walaupun mengalami kecederaan pada lengan akibat pendaratan tidak sempurna.
Dalam masa sama, Syahir menggesa seluruh peminat sukan tanah air agar terus memberikan sokongan kepada skuad sepak takraw negara, yang menurutnya sedang berada di landasan tepat untuk kembali mencabar kuasa besar rantau ini.
“Perjalanan kami masih panjang. Teruskan sokong kami. Kami tak akan berputus asa,” katanya penuh yakin. Dengan semangat membara dan pengalaman berharga ini, pasukan regu negara kini bersedia untuk kembali bangkit di pentas antarabangsa.