PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dipuji telus dalam usaha meningkatkan taraf badminton tanahair, apabila menyenaraikan tujuh lagenda sebagai Ahli Panel Penasihat Teknikal, Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagi bekas perseorangan No. 1 dunia, Roslin Hashim, perkongsian idea daripada bekas pemain berpengalaman di pentas tertinggi, akan dapat menghasilkan input berguna kepada barisan kejurulatihan serta pemain.

“Itu peranan kita, itulah sebab kami dipanggil BAM dan ABM untuk berada dalam panel. Mungkin mereka telah melakukan yang terbaik kepada pemain tetapi masih nampak kekurangannya,” katanya.

Roslin berkata, pemain sudah memiliki potensi malah pernah bergelar juara, namun kekurangan yang perlu dicari adalah di mana silapnya apabila prestasi mereka tidak dapat dikekalkan.

Roslin bersama Datuk Lee Chong Wei, Ong Ewe Hock, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit antara sebahagian 14 Ahli Panel Penasihat Teknikal itu.

Tahun 2023 adalah tahun mencabar buat semua sukan termasuk badminton, apabila saingan tertinggi menjadi lebih sukar berikutan pemain berlumba-lumba untuk mendapatkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, 2024.

 

“Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) ada memberitahu, apabila dia memanggil kita dia lebih bersifat transparent. Sebelum ini, saya banyak meluahkan isu pembangunan badminton kita di luar, melalui media.”

Bagaimanapun, kita harapkan pendekatan diambil BAM ini benar-benar dapat membantu meningkatkan martabat badminton negara, bukan semata-mata mahu menutup mulut pemain lagenda yang lantang mengkritik serta melontarkan pendapat menerusi pelbagai saluran media.