BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak mahu leka selepas menamatkan kemarau kejuaraan musim ini apabila menjuarai Terbuka Thailand 2025, sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan itu hadir hanya beberapa hari sebelum mereka turun ke gelanggang bagi menghadapi cabaran di kejohanan Malaysia Masters minggu depan, di laman sendiri.

Dalam aksi final di Stadium Nimibutr, Pearly-Thinaah tampil garang untuk menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dengan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit.

Ini adalah gelaran pertama mereka musim ini selepas beberapa percubaan yang mengecewakan termasuk tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia Januari lalu.

“Ia sangat bermakna buat kami. Kami memang tak mulakan musim ini dengan baik, tetapi kami tak pernah hilang keyakinan antara satu sama lain. Kami saling menyokong dan terus beri yang terbaik dalam latihan dan kejohanan,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tambah Thinaah lagi, kemenangan ini bukan penamat sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk meneruskan cabaran lebih besar selepas ini.

“Kami tak ada masa untuk raikan lama-lama, sebab malam ini juga kami bertolak balik. Tapi saya sangat teruja untuk bermain di Malaysia nanti. Kami akan mula semula dari kosong dan bersedia sepenuhnya,” ujarnya.