ATLET catur Ouk Chaktrang, akan menjadi antara atlet terawal ke Phnom Penh, bagi menyertai temasya Sukan Sea, apabila dijadual bertolak pada 28 April, hanya kira-kira seminggu selepas menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Pasukan, Muhammad Firdaus Ismail berkata, ini berikutan ‘catur Kemboja’ itu akan membuka saingan pada 29 April, bermula dengan acara beregu lelaki dan wanita.

Catur Ouk Chaktrang menyertai sukan kriket dan bola sepak, paling awal dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja, 29 April ini.

“Atlet akan mula bertolak ke Kemboja pada 28 April, manakala saya sebagai pengurus akan ke sana, sehari lebih awal.

“Kita harap pemain catur kita dapat menyerlah di sana meskipun kita tahu, tidak mudah untuk mencipta kejutan, namun peluang tetap ada,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan, beliau berkata, skuad negara akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta triple lelaki.

Pengurus pasukan catur Ouk Chaktrang, Muhammad Firdaus Ismail (kiri), akan tiba di Kemboja, sehari lebih awal daripada atlet.

Ujarnya, selepas mengetahui acara catur normal tidak dipertandingkan, Persekutuan Catur Malaysia (MCF) memutuskan, menghantar pemain catur normal sebagai pesaing di sana.

Seramai lima pemain disenaraikan menggalas cabaran dalam catur Ouk Chaktrang iaitu Eshwant Singh Anoop Singh, Nhavin Kumaresan dan Tin Shan Wen untuk kategori lelaki manakala Chua Jia Tien dan Nur Faiqah Aminuddin dalam kategori wanita.

Senarai atlet dan pegawai catur Ouk Chaktrang ke Sukan Sea Kemboja.

“Berdasarkan analisa, kami sasarkan dua gangsa untuk dibawa pulang, biarpun persediaan yang dilakukan boleh dikatakan agak tergesa-gesa.

“Biarpun masa semakin singkat, kami sudah aturkan perlawanan persahabatan dengan pelajar-pelajar Kemboja yang ada di negara kita, bagi membiasakan pemain dengan catur Kemboja ini.

“Sebenarnya tidak banyak berbeza berbanding catur normal, malah lebih mudah,” kata Muhammad Firdaus, sambil mengesahkan ada menghantar atlet bersaing pada Sukan Asia Dalam Dewan (AIMG) di Bangkok.