BERGELUT menyesuaikan diri pada perlawanan pertama di pentas Sukan Olimpik, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tetap lega, apabila berjaya mengatasinya dan meraih kemenangan sulung dalam aksi kumpulan D.

Berdepan lawan dari Singapura, Hee Yong Kai-Tan Wei Han, rasa gemuruh dalam diri pasangan negara itu menyerlah apabila dipaksa bermain ke mata dius pada set pertama sebelum mengatasi pemain lawan, 23-21, 21-12.

“Bagaimanapun keputusannya, saya amat gembira kami menang perlawanan pertama, kerana perlawanan pertama ini amat penting.

“Perlawanan ini diumpamakan pra perlawanan sebenar dan selepas ini, kami sudah tahu bagaimana untuk mengawal emosi di gelanggang,” kata Ee Wei, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus selepas tamat perlawanan.

Gandingan No.9 dunia itu tentunya lega, terutamanya selepas pilihan kedua kejohanan, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, kini mengungguli kumpulan D selepas mengatasi pasangan Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai 21-11, 21-14.

Chen Tang Jie-Toh ee Wei atasi Hee Yong Kai-Tan Wei Han 23-21, 21-12 pada perlawanan pertama kumpulan D, beregu campuran Sukan Olimpik Paris 2024.

Ee Wei berkata, sebagai pasangan yang baharu lebih setahun digandingkan, dia dan Tang Jie akan menempuh setiap perlawanan sebagai underdog, kerana sedar tiada reputasi dimiliki mereka untuk dipertaruhkan.

Tang Jie menyifatkan, aksi di Porte de la Chapelle Arena agak mengejutkan dengan kebanjiran penonton dan cukup bingit dengan sorakan penyokong.

“Memang terkejut dengan peminat di sini kerana tidak pernah saya bermain di Eropah dengan kegilaan penonton, kali ini berbeza dan tidak sangka ramai juga penyokong Malaysia… mereka memberi sokongan positif dan memotivasikan kami,” kata Tang Jie.

Difahamkan, jualan tiket bagi setiap hari perlawanan di arena itu sudah habis terjual sehingga ke final.

Esok (Ahad), pasangan negara akan ke gelanggang sekali lagi, bagi menghadapi beregu AS, Vinson-Jennie pada perlawanan kedua kumpulan D manakala Yan Zhe-Dong Ping menentang Yong Kai-Wei Han.