PENGENDALI skuad futsal Pahang Rangers, Gerard Casas mengakui tahap futsal di Malaysia masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Indonesia selepas pasukannya tewas 0-7 kepada Black Steel Papua FC dalam aksi separuh akhir Kejohanan Piala Futsal Kelab AFF di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Namun dia tetap berbangga dengan semangat dan corak permainan yang ditunjukkan para pemainnya sepanjang seminggu di Thailand kerana ianya memberikan pendedahan yang terbaik selain memberikan realiti sebenar dunia futsal kepada mereka.

“Kami sedar kami bertemu pasukan yang terbaik dalam kejohanan ini dan jika mahu bersaing dalam perlawanan ini, kami harus jaringkan gol pada peluang pertama untuk membuka permainan ini. Kami beraksi baik pada 15 minit pertama dengan mempunyai empat hingga lima percubaan yang kami gagal sudahi namun Black Steel menggunakan kesilapan kami untuk mendahului 3-0.

“Babak kedua juga begitu, kami bermain dengan baik tetapi kesilapan-kesilapan yang berlaku membenarkan Black Steel untuk menjaringkan gol dan menutup peluang kami untuk bangkit.

“Sepanjang minggu ini adalah pengalaman terbaik buat kami menyediakan pemain untuk mewakili Malaysia. Kami bermain tiga perlawanan menentang pasukan yang baik dan bakal bermain perlawanan keempat pada Ahad.

“Ini adalah realiti sebenarnya bahawa futsal Indonesia jauh lebih baik dari Malaysia kerana mereka mempunyai liga dan pasukan kebangsaan yang lebih baik dan memiliki taraf yang lebih tinggi. Namun kami berjaya merapatkan sedikit jurang perbezaan itu tetapi ianya masih tidak mencukupi buat masa ini,” katanya selepas perlawanan.

Kekalahan ini menyaksikan Pahang Rangers bakal beraksi dalam perlawanan penentu tempat ketiga menentang wakil Vietnam, Thai Son Nam FC pada Ahad dan apa jua keputusan, ini adalah satu pengalaman berharga buat skuad muda ini yang kini mendahului Kumpulan A, Liga Premier Futsal Kebangsaan.