JURULATIH Brazil, Tite berkata masanya sudah berakhir selepas Selecao disingkirkan oleh Croatia menerusi sepakan penalti pada suku akhir Piala Dunia 2022.

Brazil terpaksa menerima kenyataan pahit dalam pusingan lapan terakhir. Pasukan yang menjadi pilihan untuk memenangi gelaran ini tewas 2-4 (1-1) dalam penentuan sepakan penalti dari Croatia di Stadium Education City, Doha.

Kegagalan ini juga merupakan penamat kepada kisah Tite dengan Brazil. Jurulatih berusia 61 tahun itu berkata kitaran itu sudah lengkap.

“Ada lagi profesional hebat yang boleh menggantikan saya. Sekarang kitaran saya sudah lengkap. Kitaran sudah tamat,” kata Tite selepas perlawanan menentang Croatia.

Keputusan Tite itu menamatkan kerjayanya sejak bersama Brazil pada 2016. Dalam tempoh enam tahun, Tite berjaya menghadiahkan satu kejuaraan Copa America pada 2019.

Kegagalan untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 amat memeritkan buat Neymar dan rakan-rakan kerana mereka sebenarnya mampu memenangi perlawanan.

Brazil mendahului hasil jaringan Neymar pada masa kecederaan pada separuh masa pertama masa tambahan. Namun Croatia menyamakan kedudukan hasil jaringan Bruno Petkovic pada minit ke-117.

Dalam penentuan sepakan penalti, Brazil terpaksa mengakui kekuatan Croatia selepas dua penendang, Rodrygo dan Marquinhos gagal menjalankan tugas.