KETUA jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli, mahu menggunakan kem latihan pusat kali ini sebagai medan terbaik untuk memperkemas struktur pasukan menjelang dua aksi persahabatan menentang Hong Kong minggu depan.
Cornelli menjelaskan, kem latihan yang bermula di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya semalam memberi ruang penting buatnya menilai semula taktikal dan organisasi pasukan selepas aksi kelayakan sebelum ini.

“Kami ada masa seminggu untuk mempersiapkan pasukan dengan baik. Minggu ini akan ditutup dengan satu perlawanan persahabatan sebelum kami berlepas ke Hong Kong bagi menghadapi dua perlawanan penting di sana sebagai persediaan ke Sukan SEA,” katanya.
Menurutnya, tumpuan utama kali ini adalah memperkukuh falsafah permainan dan memastikan pemain terus memahami struktur serta variasi taktikal yang ingin diterapkan.
“Kami mahu ulang perkara positif yang ditunjukkan dalam perlawanan terdahulu dan pada masa sama perbaiki beberapa kelemahan. Organisasi pasukan perlu dikekalkan, tapi kami juga akan cuba beberapa sistem taktikal baru supaya ada lebih banyak pilihan,” ujarnya.
Cornelli menambah, perlawanan menentang Hong Kong bakal menjadi ukuran sebenar tahap kemajuan skuad Malayan Tigress. “Kami sudah buktikan pasukan ini mampu bersaing dengan lawan yang setara, tapi kini kami mahu melangkah setapak lagi – untuk tampil kompetitif menentang pasukan yang lebih tersusun dan berstatus lebih tinggi,” jelasnya.

Skuad Malayan Tigress dijadual menentang pasukan di ranking ke-83 dunia itu pada Rabu, 22 Oktober 2025 di Pusat Latihan Bola Sepak HKFA Jockey Club, China jam 4.00 petang (waktu Malaysia) dan sekali lagi pada Sabtu, 25 Oktober 2025 di Kai Tak Youth Sports Ground, China jam 6.00 petang (waktu Malaysia).
Cornelli menegaskan, dua aksi tersebut bukan sekadar ujian persahabatan, tetapi pentas penting untuk mengukur sejauh mana pasukan sudah bersedia menghadapi cabaran sebenar di Sukan SEA 2025 Thailand, Disember nanti.