TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima kunjungan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-Gon di Ibu Pejabat JDT Iskandar Puteri pada Isnin.

Perjumpaan ini membincangkan beberapa perkara berkaitan bola sepak kebangsaan yang bakal menjalani pelbagai perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persediaan ke Piala Asia yang bakal dilangsungkan pada Januari 2024.

Sebelum ini pada kalendar antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) Mac lalu, Harimau Malaya telah berkampung di Johor menggunakan fasiliti latuhan dan Stadium Sultan Ibrahim milik Harimau Selatan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong yang menyaksikan Malaysia menang kedua-dua perlawanan itu.

 

Turut hadir dalam perjumpaan itu adalah ketua jurulatih JDT, Esteban Solari yang kini sedang giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Sri Pahang FC untuk aksi ke-12 Liga Super.