DEBUT pertama penjaga gawang kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz boleh dianggap sekadar ‘pelengkap’ buat skuad Harimau Malaya menentang Kemboja, Jumaat lalu.

Pemain berusia 27 tahun ini menjadi pilihan Kim Pan-gon selaku penjaga gol utama berbanding Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim dan Azri Ghani.

Bekas pemain Petaling Jaya City FC yang kini menyertai Kedah Darul Aman FC musim 2023 lebih banyak memerhati rakan sepasukan mengatur gerakan memburu gol ketika berdepan Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat lalu.

Kalamullah dianggap belum memberikan impak buat pasukan apabila dia tidak berpeluang mempamerkan kualiti yang ada memandangkan tiada serangan merbahaya dilakukan Kemboja.

Sama ada benteng Harimau Malaya terlalu kebal atau penyerang Kemboja memang itu potensi yang mereka ada ternyata tiada percubaan merbahaya untuk menguji Kalamullah.

Barisan pemain utama ketika aksi persahabatan bertemu Kemboja Jumaat lalu.

Mungkin disebabkan situasi inilah yang menyebabkan peranannya selaku penjaga gawang Harimau Malaya tidak terserlah.

“Bagi saya macam saya cakap, tidak kira pasukan apa pun, kalau saya duduk bawah macam tidak ada serangan bola, saya perlu fokus setiap perlawanan walau apa-apa pun.

“Sebab dalam perlawanan sangat berbeza dari pasukan mana-mana yang kita main,” jelasnya ketika ditanya peranan pada aksi menentang Kemboja, Jumaat lalu.

Kalamullah bersama tiga rakan seperjuangan akan meneruskan perebutan posisi penjaga gawang menjelang aksi menentang Maldives, 14 Disember nanti.

Selepas berakhirnya perlawanan tersebut, Pan-gon hanya akan membawa tiga penjaga gol dan 20 pemain lain melengkapkan 23 pemain Harimau Malaya menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang bakal bermula pada 21 November 2022.