PENGENDALI Terengganu FC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkongsi faktor kemenangan pasukannya ke atas Sri Pahang FC disebabkan pemain-pemainnya bijak mengawal emosi dan berani menampilkan aksi terbaik tanpa memilih lokasi perlawanan diadakan.
Jelasnya, dia tidak mempunyai apa-apa ilmu atau magis sebaliknya kepintaran pemainlah yang menjadi penentu nasib sesebuah pasukan di dalam padang.
“Dari segi emosi pemain yang kawal perkara tersebut. Kalau pemain itu jenis yakin, tidak takut dan berani, tiada masalah pun tuan rumah atau pelawat. Yang penting kita kena bersedia. Yang penting pasukan kita sendiri bukan pasukan lawan.

Faisal meraikan kejayaan Terengganu FC membenam cabaran Sri Pahang FC.
“Saya tiada apa apa magis istimewa pun. Cuma pemain yang lakukan dalam padang. Sebelum ini, kita tidak mendapat tiga mata di tempat lawan.
“Dari segi prestasi, sama sahaja persembahan kita sebelum ini. Cuma, kita tidak dapat menjaringkan gol sebelum ini. Dari segi carta, agak kurang gol berbanding pasukan lain ,” katanya semasa sidang media selepas tamat perlawanan.

Dollah ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur.
Sementara itu, bagi pengendali Sri Pahang FC Datuk Dollah Salleh mengakui kekalahan pasukannya ini disifatkan berpunca daripada pemain yang terlampau berhati-hati dan bermain secara bertahan sepanjang perlawanan.
Selain itu, beliau menegaskan gol penyamaan yang dihasilkan pemain import Terengganu FC, Habib Haroon jelas membunuh momentum Sri Pahang FC untuk terus memberi saingan.

Pemain-pemain Sri Pahang FC meraikan gol pertama yang dijaringkan Manuel Hidalgo.
“Hari ini prestasi pasukan kita terlampau berjaga-jaga sangat. Kita banyak bertahan. Kita takutkan pihak lawan. Bila kita turun bertahan, kita bagi pihak lawan menguasai semua di bahagian tengah, di situ kita melakukan kesilapan.
“Itu salah satu daripadanya. Apa yang saya lihat, mereka masih lawan balik. Cuma gol kedua itu refleks kan, jadi macam biasalah. Macam biasalah, bila pasukan tu semangat lemah, lepas itu dapat gol penyamaan automatik perkara itu berubah,” ujarnya.