WALAUPUN mara ke separuh akhir Terbuka Thailand dengan penuh gaya, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah belum puas hati dengan prestasi mereka.

Gandingan emas Sukan Komanwel 2022 itu hanya memerlukan 34 minit untuk menyingkirkan pasangan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge 21-14, 21-11 di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Namun di sebalik kemenangan mudah itu, Thinaah akui ia bukan tempoh yang selesa sepenuhnya, kerana tetap ada detik mencemaskan di gelanggang.
“Menang, ya… tapi masih banyak ruang untuk diperbaiki. Kami tahu kami belum capai tahap terbaik,” katanya kepada BWF.

Pearly pula mengakui mereka sedang mencari rentak konsisten kerana musim ini dipenuhi turun naik yang menyukarkan momentum permainan mereka.
“Kami terus berbincang, analisis setiap kelemahan dan cuba untuk tampil lebih mantap satu perlawanan demi satu perlawanan,” kata Pearly.

Peringkat separuh akhir nanti bakal menyaksikan mereka menentang pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara, cabaran sebenar yang mungkin menentukan sejauh mana kebangkitan mereka mampu pergi.