PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Dunia sebagai hadiah hari kebangsaan buat Malaysia.

Menerusi akaun “X” peribadinya, beliau mengucapkan terima kasih kepada gandingan nombor 4 dunia itu yang membawa kejuaraan sulung kategori beregu campuran di Kejohanan Dunia.

“Hadiah Hari Kebangsaan buat Malaysia!

Tahniah kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, atas pencapaian membanggakan di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025.

Terima kasih kerana telah bekerja keras demi mengharumkan nama negara.”

Tang Jie-Ee Wei menamatkan kemarau 48 tahun sejak Kejohanan Dunia badminton dianjurkan, apabila menewaskan pasangan nomnor 2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Turut mengucapkan tahniah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menganggap pingat emas dimenangi pasangan itu sebagai hadiah yang tidak hanya terlalu istimewa untuk sambutan kemerdekaan malah satu sejarah pencapaian sukan negara.

“Anda berdua bermain cemerlang sepanjang minggu ini dan kemenangan ini selayaknya menjadi milik kamu,” tulis Hannah di akaun Facebook miliknya.

Untuk rekod, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty meraih pingat gangsa beregu campuran pada 2006 dan kegemilangan itu dipadam Tang Jie-Ee Wei, yang muncul juara dunia kedua negara selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukannya pada 2022.