MALAYSIAN Football League (MFL) disifatkan sebagai pemacu utama ke arah pembentukan ekosistem bola sepak negara yang lebih profesional dan mampan, hasil pelaksanaan penswastaan Liga Malaysia (Liga M) yang kini semakin membuahkan hasil.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan menegaskan langkah yang digerakkan MFL itu memberi impak besar dalam memperkukuh struktur kelab, terutama dari aspek kewangan dan pentadbiran yang menjadi asas penting kepada kelangsungan pasukan.
“Saya melihat pelaksanaan penswastaan Liga M sebagai langkah penting ke arah kemajuan bola sepak negara. Ia bukan hanya menggalakkan kelab lebih berdikari dari segi kewangan, tapi juga memperkemas aspek pengurusan dalaman,” katanya ketika ditemui.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan
Menurut Iswandi, kesungguhan MFL dalam membantu kelab membina asas kukuh dapat dilihat menerusi pelbagai pendekatan termasuk bengkel, sesi libat urus dan garis panduan yang memudahkan proses perlesenan serta pematuhan standard industri.
“MFL bukan sekadar melaksanakan dasar, malah mereka turut menyediakan sokongan yang diperlukan. Bagi saya, proses perlesenan itu sendiri memberi ‘tekanan positif’ kepada kelab untuk sentiasa bergerak ke depan,” jelasnya.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan usaha penswastaan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu MFL semata-mata, sebaliknya memerlukan iltizam dalaman setiap kelab untuk berubah dan bergerak secara lebih profesional.
Sebagai contoh, kejayaan Kuching City FC menamatkan musim Liga Super 2024/25 di tangga keempat membuktikan bahawa penswastaan bukan punca kelab ‘gulung tikar’, malah menjadi pemangkin kepada kelab yang bersedia melangkah ke tahap lebih tinggi.