AKSI farewell di Terbuka Malaysia bulan depan mengimbau semula kenangan Goh Liu Ying, menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa pertama bersama Chan Peng Soon.

Dia juga mengakui perasaannya bercampur baur antara teruja dan terharu menyelubungi, menjelang aksi terakhir sebelum menggantung raket.

Menurutnya, persiapan yang dilakukan menjelang aksi Terbuka Malaysia 10 hingga 15 Januari depan itu, setakat ini lancar.

Katanya lagi, walaupun sudah berpisah selama setahun, keserasian antara mereka kekal utuh dan tidak berdepan masalah untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

Goh Liu Ying bersama gandingannya Chan Peng Soon melakar sejarah muncul beregu campuran negara pertama meraih pingat perak di pentas Sukan Olimpik.

“Terbuka Malaysia kali ini pastinya sesuatu yang istimewa buat saya, bukan hanya akan menjadi kejohanan terakhir saya tetapi ia juga akan mengimbau detik di mana kami mula digandingkan. Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama kami sebagai gandingan 13 tahun lalu.

“Saya dengan Peng Soon pun sudah kembali berlatih bersama sejak sebulan yang lalu. Kombinasi antara kami tidak pernah luntur kerana kami sudah bersama sebelum ini selama 13 tahun. Jadi, kami sudah faham antara satu sama lain apabila berada di dalam gelanggang.

“Saya tidak mahu memberi tekanan yang tinggi kepada diri sendiri tetapi berjanji akan buat yang terbaik untuk peminat negara,“ kata Liu Ying.

Gandingan itu diundi bertemu pasangan Indonesa, Rehan Naufal Kusharianto-Lisa Ayu Kusumawati pada aksi pusingan pertama kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena.