UNDIAN Hoki Piala Dunia 2023 yang dianggap memihak Malaysia, pastinya masih menjadi bualan hangat peminat, yang mahukan Speedy Tigers mara lebih jauh pada edisi kali ini.
Begitupun, mengharungi saingan sebenar tidak semudah percaturan yang bermain di minda masing-masing.
Pelbagai kemungkinan perlu dicongak, pelbagai strategi perlu disusun, bermacam aspek taktikal dan teknikal hendaklah diatur.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Maninderjit Singh, ini peluang terbaik buat Malaysia mara lebih jauh.
Meskipun berdasarkan ranking dunia, skuad negara di tangga ke-10, dan muncul pasukan ketiga terbaik dalam Kumpulan C di belakang Belanda ranking ketiga dunia, dan New Zealand (9), selain Chile (23), peluang ke suku akhir sangat masuk akal.
“Jika boleh memenangi semua perlawanan lebih baik, tapi jika di congak, Belanda terlalu kuat dan pasukan hendaklah mengelak dari tewas dengan jaringan besar, selain wajib menang ke atas Chile.
“Menentang New Zealand juga kita wajib menang, seandainya mahu mendapat laluan lebih mudah ke suku akhir, kerana format kali ini berbeza dengan edisi lalu,” kata Maninderjit, ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Drawn and decided … Malaysia will take on Netherlands, New Zealand and Chile in Group C of the FIH Odisha Hockey Men’s World Cup 2023#MalaysiaHockeyConfederation #Worldcup2023 pic.twitter.com/0MyMRWn09U
— MHC (@hockeymalaysia) September 8, 2022
Menurutnya, mengikut format ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), juara setiap kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga setiap kumpulan akan merebut empat lagi tempat suku akhir melalui perlawanan silang.
Katanya, naib juara kumpulan A akan berdepan penghuni tempat ketiga kumpulan D, naib juara kumpulan B menentang penghuni tangga ketiga kumpulan C.
Senarionya, jika Malaysia menamatkan pusingan awal di kedudukan kedua kumpulan C, kemungkinan terbaik adalah menentang sama ada Korea Selatan atau Jepun, iaitu dua pasukan ranking paling rendah dalam kumpulan B.
“Sebaliknya, jika pasukan berada di ranking ketiga kumpulan C, kemungkinan besar kita akan bertemu sama ada Belgium atau Jerman yang dijangka muncul naib juara kumpulan B,” katanya.
Apapun senario di Piala Dunia nanti, skuad kebangsaan harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. Maninderjit berkata, dia yakin persediaan Speedy Tigers sangat baik dengan banyak kejohanan berkualiti termasuk jelajah Eropah membabitkan menentang Sepanyol (4 perlawanan) dan Perancis (2 perlawanan).
“Sebelum menghadapi kejohanan besar, kita perlukan 35 hingga 40 perlawanan sebagai persiapan taktikal dan teknikal. Mencuba pelbagai senario, contohnya jika pasukan ketinggalan, bermain tanpa cukup pemain akibat penggantungan atau diarah keluar padang, beraksi dengan sembilan pemain, menghadapi dua kad kuning, menggunakan system power play selain membentuk pelbagai set piece sudut penalti,” katanya.
Selain itu, analisis video kekuatan dan kelemahan permainan pasukan lawan yang ada dalam kumpulan, pasukan yang dijangka bertemu di peringkat kalah mati, perlu dimulakan sekarang.
Tambahnya, kejohanan Piala Dunia dan Olimpik sangat berbeza dan persediaan psikologi dan mental perlu dititik beratkan kerana skuad negara akan berdepan pasukan-pasukan gergasi.
Bekas Setiausaha Agong Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang juga bekas anggota skuad Olimpik 1996 dan 2000 itu amat berharap, skuad kali ini mengangkat martabat hoki negara ke tahap lebih tinggi.