DUA aksi persahabatan yang menyaksikan The Speedy Tigers mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan sebelum kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 memberi pembelajaran berguna kepada skuad hoki negara.
Menurut kapten pasukan, Marhan Jalil menyifatkan keputusan pada dua aksi persahabatan bukanlah menjadi keutamaan malah ia memberi minit permainan kepada pemain-pemain sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar.
Malaysia memenangi perlawanan persahabatan menentang pasukan New Zealand dengan keputusan 3-2 kelmarin sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan semalam.
“Untuk perlawanan hari ini (semalam) pemain-pemain muda menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk merebut tempat dalam senarai 18 pemain beraksi di Piala Sultan Azlan Shah.
“Sebenarnya bagi saya, keputusan perlawanan dalam dua aksi persahabatan ini bukan keutamaan tetapi ia lebih kepada memberi pemain suasana aksi sebenar.
“Saya tengok aksi ini sebagai satu persediaan, lebih kepada taktikal, kombinasi antara pemain, cara pemain membuat keputusan dan beberapa aspek lain,” katanya selepas perlawanan menentang Korea Selatan yang menyaksikan dirinya dan beberapa tonggak lain direhatkan oleh pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh.
Pada perlawanan itu, gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Syed Syafiq Syed Cholan menerusi pukulan sudut penalti manakala dua gol Korea Selatan masing-masing hasil melalui jaringan padang dan pukulan sudut penalti.
Marhan merupakan salah seorang daripada empat pemain senior yang disenarai pendek oleh Sarjit Singh, dengan Faizal Saari, Fitri Saari dan Hafizuddin Othman turut disenarai untuk membantu skuad hoki negara.
Pada edisi PSAS kali ini, Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia akan berdepan New Zealand (10), Korea Selatan (11), Pakistan (5), Jepun (16) dan Kanada (19).
The Speedy Tigers akan memulakan cabaran Piala Sultan Azlan Shah dengan bertemu pasukan Pakistan pada Sabtu, jam 8.30 malam.