JARINGAN gol kemenangan Al-Ahli ketika menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE), malam tadi mencetuskan perdebatan.
Gol yang dijaringkan oleh Galeno pada minit ke-54 didakwa tidak sepatutnya disahkan susulan berlaku kekasaran dalam fasa serangan sebelum jaringan tersebut.
Menerusi perkongsian sport_jazirah di laman media sosial X, bekas pengadil antarabangsa, Saad Al-Kathiri dilaporkan berpendapat keputusan pengadil utama, Adham Makhadmeh adalah tidak tepat.
Menurutnya, terdapat terjahan berbahaya oleh pemain Al-Ahli ke atas pemain tengah JDT, Nacho Méndez sebelum gol tersebut terhasil.
“Pengesahan jaringan gol kedua Al-Ahli pada minit ke-56 adalah keputusan yang salah oleh pengadil.
Beliau turut menyatakan bahawa sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) sepatutnya memainkan peranan untuk meneliti semula insiden berkenaan dan membatalkan jaringan tersebut.
Dalam perlawanan itu, JDT terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila mendahului pada minit ke-19 hasil jaringan sendiri pemain Al-Ahli, Ali Majrashi sebelum dilayangkan kad merah apabila Majrashi melakukan kekasaran terhadap Jairo yang menyebabkan pemain JDT itu dikejarkan ke hospital.
Walaupun kekurangan seorang pemain, Al-Ahli bangkit menyamakan kedudukan menerusi Franck Kessié pada masa kecederaan babak pertama sebelum Galeno muncul wira dengan gol kemenangan.
Kemenangan itu memastikan Al-Ahli mara ke separuh akhir untuk berdepan Vissel Kobe yang menyingkirkan Al-Sadd menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Sumber Gambar: FB Al Ahli
