PENGADIL Malaysia, Nazmi Nasaruddin teruja dengan mentaliti rakan-rakan pengadil Malaysia yang nyata berminat untuk mendalami ilmu berkaitan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) meskipun masih belum terpilih dalam senarai pengadil VAR.

Nazmi yang menjadi pengadil utama pertama Malaysia mendapat lesen VAR dari Fifa juga gembira kerana sering dijadikan bahan rujukan oleh pengadil-pengadil yang lain untuk belajar dan memahami dengan lebih mendalam teknologi baharu dalam bola sepak ini.

“Saya agak terkejut dengan kumpulan pengadil yang ada ketika ini kerana mereka sering menghubungi saya berkaitan VAR sedangkan pengadil itu masih belum terpilih untuk pengadil VAR dan mereka cuba belajar.

Nazmi kini dalam persiapan untuk ke Piala Dunia 2026.

“Ini buatkan saya rasa terharu dengan pengadil Malaysia kerana mentaliti mereka yang agak tinggi untuk belajar mengenai VAR kerana teknologi ini bukan mudah untuk diadaptasi tetapi dengan latihan yang diberikan oleh pengajar segalanya lebih mudah,” katanya.

Pengadil berusia 34 tahun itu juga kini dalam persiapan untuk menjadi salah seorang pengadil di Piala Dunia 2026 dan dia berazam mahu melakukan yang terbaik untuk membawa nama Malaysia namun ianya adalah satu proses yang cukup panjang.

“Untuk menjadi pengadil di Piala Dunia, ianya satu proses yang agak panjang dan kami baru sahaja melengkapkan satu kursus di mana mereka melakukan analisa semasa pengadil dan selepas ini kursus kedua dimana kami akan dianalisa ketika perlawanan pula.

Nazmi dan dua pembantunya semasa Piala Asia 2023.

“Apa yang paling penting bagi setiap pengadil adalah keputusannya di dalam padang dengan VAR hanya membantu pengadil membuat keputusan yang agak sukar dan saya ini yang sedang saya lakukan sekarang sebagai persediaan,” jelasnya.

Nazmi sebelum ini sudah mengendalikan pelbagai jenis perlawanan sama ada di peringkat domestik mahupun di Asia dengan sering dipilih mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC dan yang terbaharu, mengadili dua perlawanan di Piala Asia Qatar, Januari lalu.