ATLET mendayung negara, Muhammad Shukri Sulaiman, melakar sejarah, menjadi pendayung negara pertama merangkul pingat emas dalam acara single scull CM1X lelaki di Kejohanan Mendayung Masters Pesisir Pantai Regata Asia 2023 di Qingdao, China hujung minggu lalu.
Menurut Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama), kejohanan peringkat Asia itu disertai sembilan negara iaitu tuan rumah, China, Indonesia, Kuwait, Malaysia, Myanmar, Thailand, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.
“Shukri, bekas pendayung Sukan Sea negara menamatkan saingan dalam jarak 1.6 kilometer (km) dengan catatan masa 10 minit 33.19 saat (s) dalam kategori Masters C (had umur 43-49) mengetepikan wakil tuan rumah, Wang Xuegang dan Lin Yi di tempat kedua dan ketiga,” kata, Perdama dalam satu kenyataan.
Ujarnya, Shukri terpaksa bersaing di kejohanan anjuran Persekutuan Mendayung Asia (ARF) dalam cuaca sejuk iaitu lima darjah selsius dan tiupan angin kuat.
Dalam pada itu, pasukan mendayung negara yang terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita turut berjaya merangkul dua gangsa, iaitu menerusi Nur Afiqah Zamia Sumeri dalam acara Masters A (had umur 27-35) Single Scull Wanita CW1X.
Manakala satu lagi gangsa menerusi gandingan Afiqah Zamia bersama Mohd Arif Ashraf, Nurafika Nordin, Muhammad Aiman Aziz dan Nurul Amira Norhadi bagi acara Masters A campuran coxed quad CMix4X+.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan acara Mendayung Pecut Pantai, salah satu format Mendayung Pesisir Pantai, dimasukkan ke dalam program Sukan Olimpik Los Angeleas 2028 bersama acara Mendayung Klasik (Classic Rowing).
Sementara itu, Presiden Perdama, NorhadiIshari berkata, ini kali ketiga Malaysia menyertai kejohanan mendayung pesisir pantai.
“Kemenangan atlet negara dalam kejohanan Masters Asia ini memberi peluang dan harapan kepada Perdama dalam pencarian pingat emas Sukan Sea dan kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Perdama akan mengambil kesempatan ini untuk membudayakan mendayung pesisir pantai sebagai sukan kebangsaan di mana negara kita mempunyai banyak pantai semulajadi yang cantik untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa.
“Ia juga mampu menjana pendapatan ekonomi menerusi pelancongan sukan dengan kos penganjuran jauh lebih rendah berbanding acara mendayung klasik yang memerlukan lokasi air seperti di empangan dan tasik buatan besar yang menelan kos tinggi dan sukar diakses oleh pendayung,” katanya.