PEMAIN skuasy nombor satu negara, S Sivasangari, melangkah ke final kejohanan bertaraf Emas, buat kali kedua dalam keriernya, apabila mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Piala Grasshopper, di Zurich, Switzerland.

Kemenangan ke atas pilihan utama dari Belgium, Tinne Gilis 3-1 di separuh akhir, awal pagi tadi, membolehkannya mencipta satu lagi kejutan di pentas dunia.

Sivasangari yang sebelum ini mencipta kejutan muncul juara London Classic tahun lalu, sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila tampil tenang mengharungi perlawanan penuh tekanan, sebelum mengesahkan kemenangan 13-11, 7-11, 11-8, 15-13.

“Memang sengit, saya hampir bazirkan peluang tetapi akhirnya berjaya kawal tekanan. Saya berterima kasih kepada pasukan yang sentiasa menyokong dari belakang, ini kemenangan untuk kami semua,” kata Sivasangari kepada PSA.

Sivasangari yang kini berada di ranking ke-11 dunia akan berdepan pilihan utama dari Mesir, Nouran Gohar (No.1) di final yang dijangka berlangsung 10 malam ini (waktu Malaysia).

Sementara itu, di Washington DC, Malaysia mempunyai dua wakil di pentas akhir apabila Rachel Arnold dan Eain Yow Ng, masing-masing mara ke final kejohanan bertaraf Gangsa – Kejohanan Skuasy On Fire 2025.
Rachel berjaya menewaskan pilihan utama, Rowan Elaraby (Mesir), dalam pertarungan sengit lima set 3-11, 11-6, 12-10, 6-11, 11-7 dalam masa 51 minit.

Pada final yang dijangka awal pagi esok, Rachel akan berdepan wakil tuan rumah, Amanda Sobhy.

Sementara, Eain Yow menepati status pilihan kedua dipegangnya, apabila ke final setelah menewaskan wakil Mesir, Kareem El Torkey, 11-5, 11-4, 11-6 dalam tempoh 35 minit.
Dia yang kini menghuni ranking ke-10 dunia akan berdepan seorang lagi wakil mesir, Marwan El Shorbagy (No.8) di final.