MESKIPUN bakal berdepan saingan sengit dalam kategori berat badan baharu, badang negara Muhammad Aniq Kasdan tetap mensasarkan untuk mencipta rekod baharu kebangsaan, tahun ini apabila menyertai Kejohanan Angkat Berat Senior Komanwel di India Ogos depan.
Dia yang mencipta rekod baharu kebangsaan lelaki 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 298kg di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji, tahun lalu, memburu angka 300kg pula di India.
“Apapun di Kejohanan Angkat Berat Asia di China yang sedang berlangsung, saya harap mampu mengangkat keseluruhan 300kg, sebelum beraksi dalam kategori baharu, 60kg di India, dan tentunya saya mahu mencipta banyak lagi kejayaan,” kata Aniq kepada Flash Sukan.
Menurutnya, meskipun masih bertanding dalam kategori berat 55kg di China, sudah ada peningkatan dalam misi meningkatkan berat badan.
“Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan bulan Jun nanti, menjadi acara pertama buat saya bersaing dalam kategori 60kg dan itu bakal menjadi medan terbaik saya menguji kemampuan sebelum bertanding di India yang juga menjadi kejohanan kelayakan ke Sukan Komanwel 2026.
Berdasarkan kalendar Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), terdapat dua kejohanan benua di peringkat senio pada Julai, iaitu Kejohanan Angkat Berat Oceania dan Pan Amerika, yang mungkin bakal menyaksikan nama siapa yang pertama akan tercatat sebagai pemegang rekod dunia bagi kategori 60kg, 65kg, 71kg, 79kg, 88kg, 98kg, 110kg dan atas 110kg.
Selepas itu giliran atlet angkat berat dari negara-negara komanwel pula mengintai ruang untuk menempatkan diri sebagai pemilik rekod dunia baharu, sebelum saingan getir pada Kejohanan Angkat Berat IWF Dunia yang akan berlangsung di Norway pada Oktober.
Untuk rekod, Aniq menamatkan saingan 55kg Sukan Olimpik Paris pada kedudukan keempat dengan angkatan keseluruhan 297kg.