KETUA pasukan Harimau Malaya, Matthew Davies dan ketua jurulatih, Peter Clamovski menggesa seluruh penyokong bola sepak negara untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi getir menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 malam esok.

Setakat semalam, hanya 33,118 tiket dilaporkan terjual, jauh daripada kapasiti penuh stadium yang mampu memuatkan lebih 80,000 penyokong. Perlawanan kedua Kumpulan F itu bakal berlangsung pada hari Selasa, namun Davies tetap berharap semangat patriotik mampu mengatasi halangan hari bekerja.

“Saya faham ia malam Selasa, memang sukar untuk peminat. Tapi kami perlukan sokongan penuh rakyat Malaysia. Kami sedang bina sesuatu yang istimewa dalam skuad ini, dan kami mahu anda jadi sebahagian daripada perjalanan ini,” ujarnya penuh harapan.

Tambahnya, kehadiran penyokong dalam jumlah besar mampu menjadi ‘senjata tambahan’ di atas padang. “Lagi ramai di stadium, lebih sukar untuk lawan. Sokongan itu beri tenaga luar biasa kepada kami. Jadi, tolong, beli tiket dan datang ke stadium.”

Nada yang sama turut disuarakan Peter Clamovski yang menyifatkan kehadiran penyokong sebagai detik penting untuk membangkitkan kembali semangat bola sepak Malaysia.

“Tak ada yang lebih baik daripada stadium yang penuh. Saya tahu semangat itu masih ada dalam kalangan penyokong. Kami merayu kepada semua — Ultras Malaya, penyokong setia, seluruh rakyat Malaysia — datang ke Bukit Jalil. Esok malam, pemain-pemain ini akan berikan segalanya.”

Ketua Pasukan Malaysia Matthew Davies (KANAN) dan Jurulatih Harimau malaya Peter Calmovski dalam sidang media pra perlawanan menjelang aksi kedua Kumpulan F kelayakkan piala Asia 2027 Saudi di Stadium Nasional Bukit jalil 9 Malam esok.

Dengan nada penuh emosi, Clamovski turut menegaskan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk berperang habis-habisan. “Vietnam tidak akan beri laluan mudah. Tapi kami juga tidak akan berhenti . Darah, peluh dan air mata akan ditinggalkan di padang demi bawa pulang kemenangan. Tapi kami perlukan sorakan anda untuk 90 minit penuh. Bersama-sama, kita boleh jadi kuasa yang tak dapat dihentikan.”

FOTO:FAM